Pepatah Melayu ada mengatakan, "Ilmu
itu pelita hidup". Ini menggambarkan bahawa pentingnya ilmu dalam segenap
aspek kehidupan. Tanpa ilmu, manusia berada di dalam 'kegelapan'. Tanpa ilmu, manusia
tidak dapat mencari jawapan kepada sesuatu persoalan. Dan tanpa ilmu, manusia
gagal menemukan jalan penyelesaian kepada sesebuah permasalahan. Allah telah
menjelaskan tentang kepentingan ilmu di dalam Al Qur'an. Firman Allah;
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang
kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran,
penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya."
(Al Israa': 36)
Ilmu merupakan teori yang perlu
dikuasai sebelum seseorang itu melakukan sesuatu tindakan (praktikal). Sebagai
contoh, jika seseorang itu membeli sebuah kereta, maka dia akan diberikan
sebuah manual tentang bagaimana untuk memfungsikan kereta tersebut dari A
sampai Z. Di dalam buku itu juga ada diberitahu tentang setiap komponen-komponen
penting yang ada pada kereta tersebut yang perlu diketahui. Ini bermakna,
manual kereta tersebut adalah sebagai sumber ilmu yang perlu dipelajari sebelum
kereta tersebut dapat dipandu.
Walaubagaimanapun, ilmu saja tidak cukup
untuk membuatkan seseorang itu bersedia untuk bertindak. Berbalik kepada cerita
tentang kereta tadi, siapakah yang akan mengajarnya memandu kereta? Maka, sudah
pastilah guru bertauliah yang mempunyai kredibiliti dalam bidang pemanduan.
Mentor No.1 Asia, Dr Azizan Osman pernah mengatakan sewaktu dalam program beliau, jika kita ingin
mempelajari sesuatu bidang, maka carilah orang yang mahir di dalam bidang
tersebut (mentor). Mentor adalah orang yang berpengalaman kerana mereka telah
melalui jatuh bangun sebelum mereka berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.
Mereka akan memastikan pelajar tersebut (mentee) tidak mengulangi kesalahan yang sama seperti
mana yang mereka telah lakukan dahulu.
Proses pembelajaran tidak pernah berhenti
kerana setiap hari kita berhadapan dengan cabaran yang berbeza-beza. Oleh itu,
kita sentiasa memerlukan mentor untuk memimpin dan memperbetulkan setiap tindakan
kita. Sebagai seorang yang ingin belajar, kita haruslah mempunyai minda yang
sentiasa terbuka untuk menerima segala input yang diberikan oleh mentor. Maka,
gunakanlah konsep K.I.S.S. atau dalam istilah panjangnya, “Keep it simple &
stupid”. Apa yang dimaksudkan dengan
konsep K.I.S.S. adalah mengosongkan minda dan bersedia untuk menerima sesuatu
perkara yang baru. Mungkin kita pandai memasak, tetapi kita perlu belajar
dengan orang yang pandai menjahit jika kita ingin pandai menjahit.
No comments:
Post a Comment